Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Author image

Danial Haikal

5 Langkah Asas Melukis Komik Digital


Hai semua! Korang berminat menghasilkan komik? Korang baru nak bermula… Hmm.. Ini langkah-langkah asas yang aku kongsikan! Hanya untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak (beginner), yang dah pro tu mungkin ada cara mereka tersendiri. Sebenarnya, terdapat beberapa langkah untuk menghasilkan komik. Tetapi INGAT, langkah-langkah ini tak termaktub untuk semua pelukis komik kerana setiap pelukis ada cara dan teknik mereka tersendiri untuk menghasilkan komik.

Sebelum memulakan proses penghasilan draf dan lukisan, pelukis terlebih dahulu perlu mengetahui:

  • Latar belakang cerita seperti tajuk, tema, waktu dan jalan cerita
  • Rekaan dan karekter watak
  • Anggaran muka surat (untuk satu episod/cerita)
  • Stail yang akan digunakan – bergantung kepada tema cerita

LANGKAH 1: Rangka Cerita (Draf)

Langkah ini tidak digunakan oleh kebanyakan pelukis. Tetapi draf rangka cerita adalah perkara penting untuk pelukis meletakkan idea dan cerita supaya lebih tersusun dan mudah untuk dirujuk kembali. Letakkan apa sahaja idea dan perancangan yang terlintas di dalam draf rangka. Ini kerana draf ini boleh berubah mengikut Jalan cerita dan idea yang mungkin datang pada waktu lain sepanjang proses penghasilan komik.

LANGKAH 2: Rangka Lukisan (Draf)


Setelah selesai membuat rangka, pelukis akan mula menghasilkan draf lukisan di atas kertas. Berdasarkan draf rangka, pelukis akan membuat reka letak watak, latar belakang, tona yang akan digunakan dan mungkin juga kedudukan belon dialog. Tahap ketelitian semasa langkah ini bergantung kepada skil dan kepakaran pelukis. lazimnya pelukis akan menggunakan pensil untuk proses ini. Ada pelukis yang menghasilkan rangka lukisan secara manual, jadi mereka akan scan untuk proses seterusnya secara digital.

LANGKAH 3: Inking


Seterusnya, pelukis akan membuat proses inking di mana berdasarkan daripada draf lukisan (pensil), pelukis menggunakan dakwat yang lebih jelas supaya lukisan akan mudah untuk dicetak dan dilihat. Selalunya pelukis menggunakan pen ataupun berus lukisan dengan dakwat hitam untuk proses ini. Teknik penggunaan mata pen atau berus lukisan yang akan menentukan ketebalan garisan – yang menjadi faktor lukisan nampak hidup dan timbul.

LANGKAH 4: Toning

Satu lagi cara untuk membuatkan lukisan tampak lebih menonjol dan menarik adalah dengan penggunaan tona. Teknik toning yang baik menjadikan lukisan komik lebih berjiwa dengan mewujudkan suasana, corak dan juga mampu membentuk mood pembaca. Pelukis boleh membuat toning dengan melukis atau menggunakan kertas tona. Ini juga bukan WAJIB kerana penguasaan penggunaan tona juga perlu latihan. Ada juga pelukis komik yang tidak menggunakan tona di dalam lukisan mereka tetapi mereka menggunakan cara “bayang-bayang” (shadow) untuk menunjukkan ‘depth’ dalam lukisan.

LANGKAH 5: Dialog (Balloon)


Belon dialog atau “balloon” merupakan pengucapan dialog watak di dalam komik. Pelukis harus tahu teknik menyusun balloon supaya tidak menutupi watak ataupun lukisan yang ingin ditunjukkan kepada pembaca. Balloon juga mempunyai pelbagai bentuk yang menggambarkan expressi watak ketika menyampaikan dialog. Penggunaan bentuk balloon membantu pembaca memahami perasaan watak dan situasi yang ingin digambarkan oleh pelukis.

Sekian, Terima Kasih.


No comments:

Post a Comment